OKTOBER 2022

Wisma Melayu Sarawak Mercu Tanda Baharu


KUCHING: Bangunan Wisma Melayu yang dijadual siap dalam masa 30 bulan akan menjadi mercu tanda baharu negeri Sarawak.

Bangunan itu dibina di atas tapak seluas lebih 14.83 hektar (6.5 ekar) di sini membabitkan kos RM73 juta dilengkapi dengan pelbagai jenis kemudahan termasuk dewan serba guna berkapasiti 2,000 orang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan bangunan milik lembaga Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS)itu merupakan idea mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem semasa Seminar Budaya Melayu Sarawak pada 2007.

“Dengan kebolehan, kepakaran dan kredibiliti yang ada pada Naim Engineering Sdn Bhd akan dapat merealisasikan Wisma Melayu Sarawak itu dalam jangka masa yang dirancangkan,” katanya pada majlis penyerahan Tapak Wisma Melayu di Jalan Diplomatik di sini.

Awang Tengah berkata, AKYBMS sedar kekangan dari pelbagai aspek dalam ekonomi yang sedang pulih ini dan meletakkan harapan tinggi supaya berjaya melaksanakan projek terbabit.

“Saya menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang membantu dalam pelbagai aspek sepanjang usaha kita untuk projek ini,” katanya.

Bangunan Wisma Melayu Sarawak itu juga memiliki bilik seminar, pejabat pentadbiran AKYBMS, ruang aktiviti terbuka, surau, cafe dan galeri sejarah Melayu Sarawak, tambahnya.

Awang Tengah menegaskan, bangunan itu akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu untuk pelbagai jenis acara termasuk majlis keagamaan, persembahan kebudayaan, sosial dan aktiviti ekonomi.

Dewan serba guna yang besar mampu menampung persidangan dan pameran bukan sahaja bagi peringkat negeri malah mampu juga untuk peringkat kebangsaan dan antarabangsa, katanya.

Untuk rekod, majlis pecah tanah Wisma Melayu Sarawak itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Jalan pada 10 Disember 2020.

Sumber dari : Jiwa Bakti